PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport antarabangsa milik menantu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan sudah dibatalkan.
Menurut beliau, pembatalan itu dibuat selepas menerima permohonan rasmi daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan telah dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
“Saya telah difahamkan oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport dan hal itu telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan itu saya boleh sahkan (pembatalan pasport),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Himpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian mengulas status pasport milik Muhammad Adlan yang dikehendaki oleh SPRM bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah yang kini dilaporkan menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Tambah Saifuddin Nasution lagi, walaupun kes tersebut berada di bawah bidang kuasa SPRM, pihaknya akan mendapatkan maklumat lengkap daripada semua agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dua agensi ini penting kerana kalau tujuan informasi individu tersebut sememangnya individu yang dikehendaki untuk tujuan siasatan oleh SPRM maka bagaimana dua agensi di bawah KDN iaitu Jabatan Imigresen dan polis boleh fasilitasi untuk membawa (Muhammad Adlan) pulang itu keutamaan kami,” katanya.
Ditanya sama ada nama Muhammad Adlan telah dimasukkan dalam senarai Interpol, Saifuddin Nasution berkata, perkara tersebut telah dibuat oleh badan siasatan tersebut.
“Pemakluman untuk memasukkan dia (Muhammad Adlan) ke dalam senarai Interpol telah dibuat oleh SPRM sepertimana yang telah dibuat oleh (bekas Ketua Polis Negara) Tan Sri Razarudin Hussain,” jelasnya lagi.
Saifuddin Nasution turut ditanya sama ada Muhammad Adlan bergerak menggunakan pasport yang telah dibatalkan, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya perlu menyemak dakwaan tersebut.
Semalam, media tempatan melaporkan Muhammad Adlan kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Malah beberapa gambar turut menunjukkan Muhammad Adlan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat. – MalaysiaGazette
















