Ribut di New Zealand dijangka reda menjelang esok, tetapi pihak berkuasa memberi amaran usaha pemulihan mungkin mengambil masa beberapa hari.

WELLINGTON – Angin kencang dengan kelajuan sehingga 155 kilometer sejam (96 batu sejam) yang melanda New Zealand telah menyebabkan 90,000 kediaman terputus bekalan elektrik serta memaksa pihak berkuasa membatalkan lebih daripada 100 penerbangan, lapor media tempatan.

Menurut Perkhidmatan Meteorologi New Zealand, ribut itu menjejaskan seluruh Pulau Selatan serta bahagian selatan Pulau Utara.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran merah angin kencang tahap amaran tertinggi di beberapa kawasan tengah termasuk Canterbury dan Wellington pada Khamis, sebelum amaran itu ditarik balik beberapa jam kemudian.

Laporan tempatan menyebut bumbung rumah diterbangkan, manakala pokok dan tiang elektrik tumbang akibat tiupan kuat.

Seorang lelaki di Wellington dilaporkan maut selepas dihempap dahan pokok yang patah.

Orang ramai dinasihatkan supaya berada di dalam rumah, mengelak daripada melakukan perjalanan, serta bersedia menghadapi gangguan elektrik dan komunikasi yang berterusan.

Gangguan bekalan elektrik kebanyakannya berlaku di Pulau Selatan, namun pihak berkuasa memaklumkan bahawa usaha pemulihan bekalan sedang dijalankan secara berperingkat.

Mangsa yang maut akibat dahan pokok pada Selasa dilaporkan sedang berjalan di laluan pendakian popular di ibu negara New Zealand ketika kejadian berlaku.

Di Wellington juga, seorang wanita terhempas atas jalan raya akibat diterbangkan angin kuat, dalam satu insiden yang dirakam menerusi video papan pemuka (dashcam) dan tular di media sosial.

Mangsa dilaporkan terselamat.

Beberapa penerbangan keluar dan masuk ke bandar itu telah dibatalkan, manakala jalan raya dan perpustakaan awam turut ditutup buat sementara waktu.

Sementara itu, pegawai daerah Canterbury telah mengisytiharkan darurat tempatan bagi menyokong usaha tindak balas bencana.

Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai hujan lebat di seluruh Pulau Selatan, dengan paras air di Sungai Waimakariri di Canterbury meningkat dengan cepat. Pegawai tempatan memberi amaran bahawa sungai itu berkemungkinan melimpah dalam beberapa jam akan datang dan menggesa penduduk bersiap sedia untuk pemindahan segera.

Ribut itu juga telah menumbangkan sebuah lori di lebuh raya di Canterbury.

Kejadian cuaca ekstrem pada Khamis itu berlaku ketika puluhan ribu guru, doktor dan pekerja awam lain sedang mengadakan mogok besar-besaran (mega strike) bagi menuntut gaji dan syarat kerja yang lebih baik. Namun, cuaca buruk memaksa sebahagian perhimpunan luar dibatalkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup.

Dalam masa yang sama, Australia turut berdepan tiupan angin kuat dan gelombang haba di kawasan pedalaman, dengan pihak berkuasa mengeluarkan larangan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kebakaran hutan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast