KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat mendakwa, parti ini bukan lagi milik rakyat sebaliknya dikuasai kelompok kecil yang hilang moral dan maruah perjuangan.
Lantaran itu, Mohd Isa Mohd Saidi mengajak akar umbi Bersatu ‘mengambil semula’ parti ini demi menyelamatkan masa depan perjuangan sebenar.
Beliau mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berdepan krisis keyakinan terbesar sejak mengetuai parti tersebut.
Dakwanya, kegagalan Muhyiddin bukan lagi persepsi, tetapi realiti politik yang sedang melemahkan parti dari dalam.
Sebagai presiden, Muhyiddin didakwa gagal mengurus perbezaan pandangan, memilih untuk berdiam diri ketika berlaku perpecahan dan menggunakan Lembaga Disiplin sebagai alat menutup suara pembaharuan.
“Ahli yang menegur disingkir, manakala mereka yang menyeleweng hala tuju parti terus dilindungi.
“Lebih mengecewakan, beliau melindungi individu bermasalah moral dan integriti dengan melantik mereka sebagai penasihat utama. Golongan ini kini menyusun langkah untuk menyingkirkan rakan seperjuangan yang tidak sehaluan dengan agenda mereka,” dakwa bekas Ketua Bahagian Bersatu Ampang.
Tegasnya, kepimpinan Muhyiddin juga menjadi liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN) kerana sebagai pengerusi beliau gagal memimpin dengan semangat penyatuan.
Mohd Isa mendakwa, sejak berakhirnya Perhimpunan Agung Bersatu dan Muktamar Pas, PN tidak lagi bermesyuarat secara rasmi, berpunca daripada sikap Muhyiddin yang mengelak rundingan dengan Pas dalam isu calon perdana menteri serta pelantikan unilateral tanpa persetujuan komponen.
“Ketika PN lumpuh tanpa hala tuju, Muhyiddin pula menubuhkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), platform baharu yang jelas bermotif politik peribadi bagi menghidupkan kembali cita-citanya menjadi perdana menteri.
“IPR bukan gerakan rakyat, tetapi alat politik Muhyiddin untuk mengumpul sokongan dan menggagalkan PN dari dalam,” katanya.
Tindakan ini, jelas beliau, membuktikan Muhyiddin tidak lagi mampu memimpin parti atau gabungan dengan jujur dan berprinsip.
“Saya menyeru seluruh ahli dan kepimpinan akar umbi menolak kepimpinan Muhyiddin, bukan kerana menolak penyatuan, tetapi kerana penyatuan itu kini telah dijadikan alat untuk memenuhi cita-cita peribadi. Rakyat memerlukan pembangkang yang berintegriti, bukan yang memperalat parti untuk menyelamatkan diri sendiri,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















