SAN FRANCISCO – Syarikat penerbangan Alaska Airlines telah menghentikan semua penerbangannya di seluruh Amerika Syarikat pada petang Khamis berikutan gangguan teknologi.
“Alaska Airlines sedang mengalami gangguan IT yang menjejaskan operasi. Hentian sementara kini sedang dilaksanakan,” kata syarikat penerbangan itu dalam hantaran di platform X.
Menurut syarikat itu, pasukan teknologi maklumat (IT) sedang berusaha untuk menyelesaikan ralat dalam sistem secepat mungkin.
Dalam maklum balas kepada seorang pengguna X, syarikat tersebut menasihati penumpang supaya menyemak status penerbangan masing-masing sebelum berlepas ke lapangan terbang.
Langkah itu turut menjejaskan anak syarikat Alaska Airlines, Horizon Air, serta beberapa penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma (SEA) yang dikendalikan oleh rakan penerbangan wilayahnya, SkyWest Airlines, menurut nasihat yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Nasihat terkini FAA memaklumkan, hentian operasi masih diteruskan, kecuali bagi penerbangan yang berlepas dari lapangan terbang SEA.
Menurut laporan media tempatan, penumpang yang terjejas dilaporkan berang selepas terpaksa menunggu berjam-jam di lapangan terbang di seluruh Amerika Syarikat.
Pada Julai lalu, Alaska Airlines turut mengalami “hentian operasi sementara di seluruh sistem” selama kira-kira tiga jam akibat gangguan IT. – Agensi
















