KUALA LUMPUR – Bintang Argentina Lionel Messi sah kekal bersama Inter Miami hingga penghujung musim 2028 bersama kelab Major League Soccer (MLS) itu
Perkembangan itu dikongsikan menerusi hantaran video di akaun X Inter Miami, yang memaparkan Messi menandatangani kontrak di tengah padang stadium baharu kelab itu, Miami Freedom Park yang masih dalam pembinaan.
Kontrak Messi sepatutnya tamat hujung musim ini namun lanjutan kontrak akan menyaksikan dia kekal beraksi untuk menyertai Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Sementara itu, Messi, 38, dalam satu kenyaatan berkata, dia gembira untuk terus berada di sini dan meneruskan projek ini yang bukan sekadar impian, tetapi sudah menjadi satu realiti yang indah bermain di stadium ini di Miami Freedom Park.
“Sejak tiba di Miami, saya berasa sangat bahagia, jadi saya benar-benar gembira dapat meneruskan perjalanan ini,” kata pemenang Ballon d’Or lapan kali itu.
Musim ini, Messi terus menyerlah apabila membantu Inter Miami mara ke pusingan play-off selain menutup musim dengan hatrik menakjubkan ketika menewaskan Nashville SC 5-2 sekali gus muncul penjaring terbanyak MLS dengan 29 gol dalam 28 perlawanan.
Dia menyertai Inter Miami pada 2023 selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) dengan sebahagian besar karier gemilangnya dihabiskan bersama Barcelona dari 2004 hingga 2021, meraih 10 kejuaraan La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Legenda Barcelona itu turut memimpin negaranya menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar serta Copa America pada 2021 dan 2024 selain mengumpul 114 gol antarabangsa. – Agensi
















