KUALA LUMPUR – Bekas pengasas bersama Parti Pribumi Mersatu Malaysia (Bersatu), Anina Saadudin mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin kini bertindak seperti diktator apabila bebas memecat serta menggantung keahlian tanpa semak dan imbang.
Jelasnya, tindakan itu nyata boleh dielak sekiranya jawatan Pengerusi Bersatu yang pernah disandang Tun Dr Mahathir Mohamad masih diwujudkan.
“Hanya sembilan tahun usia Bersatu kini presiden bebas memecat, menggantung sesiapa sahaja seperti diktator. Saya tidak mengenali Wan Saiful Wan Jan tetapi saya baik dengan Wan Ahmad Faisal Wan Ahmad Kamal.
“Kak Nina tonton podscast WAF (Wan Ahmad Fasyhal) bersama Datuk Zaid Ibrahim. Jangan terburu-buru masuk parti lain. Minta petunjuk Allah. Kak Nina juga sehingga kini kekal tidak berparti,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, situasi itu berpunca daripada pindaan Perlembagaan Bersatu selepas kejatuhan Dr Mahathir pada 2020 yang memansuhkan jawatan pengerusi parti itu.
Menurut Anina, jawatan tersebut pada asalnya diwujudkan khusus untuk mengimbangi kuasa presiden agar tidak berlaku penyalahgunaan kuasa pada masa depan.
“(Ketika itu) kita perlu wujudkan jawatan pengerusi parti bagi mengimbangi kuasa presiden. Kita tidak mahu 10 tahun atau 100 tahun akan datang, Presiden Bersatu menjadi diktator yang merosakkan parti dan negara,” katanya mengimbas kembali sejarah penubuhan parti itu pada 2016.
Beliau menyifatkan keadaan dalam Bersatu ketika ini sudah dijangka sejak awal penubuhannya.
Malah menurutnya, prestasi parti itu juga semakin merudum sejak pilihan raya negeri Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16 kelak.
“Tiada siapa panik pokok bergoyang di dalam Bersatu kerana angin telah bertiup lama. Bunga sudah tidak mekar di bendera merah, luruh sebelum musim buah di PRN Sabah dan PRU-16,” katanya.
pada 14 Oktober lalu, Bersatu telah memecat keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.
Dalam tindakan berasingan, Wan Ahmad Fayhsal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Menurut kenyataan rasmi Lembaga Disiplin Bersat, keputusan itu dibuat selepas menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap beberapa individu yang didakwa melanggar peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli.
Sesi pendengaran telah diadakan pada 8 Oktober 2025 dan tindakan disiplin diambil berdasarkan siasatan menyeluruh serta selaras dengan Fasal 9.1.4 dan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli.
Selain Wan Saiful, empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi. – MalaysiaGazette















