JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori di Jalan Kempas Lama-Seelong di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 7.55 malam melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan lori Nissan BPR71P.
“Kemalangan tersebut berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang berusia 48 tahun dari arah Kempas Lama menuju Skudai dan hilang kawalan.
“Motosikal mangsa kemudian melanggar belakang lori berkenaan yang dipandu lelaki berusia 42 tahun,” katanya dalamĀ kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara pemandu tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi atau menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlina Abdul Raif 013-2864878.- MalaysiaGazette
















