JOHOR BAHRU – Yayasan Warisan Johor (YWJ) merancang menjalin kerjasama dengan Brunei dan Filipina dalam penganjuran Wonderful Nusantara Festival (WNF) bagi memperkukuh kerjasama meluas menerusi penglibatan negara ASEAN lain pada tahun depan.
Pengarah YWJ, Nor Syazlan Abd Razak berkata, usaha itu sekali gus akan menjadikan festival berkenaan sebagai platform utama penyatuan dan perkongsian budaya di Asia Tenggara.
“Seiring dengan Tahun Melawat Johor 2026, pastinya acara ini akan berkembang meriah dengan rakan kolaborasi baharu.
“Ini sekali gus menunjukkan tanda positif yang sangat baik dalam memperkukuhkan hubungan antara negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sidang media WNF 2025 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini.
MoU bersama-sama Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru dan Taman Warisan Melayu (MHC) Singapura itu dalam memperkukuh jaringan diplomasi budaya, seni warisan dan memperluas kerjasama serantau.
MoU berkenaan ditandatangani Nor Syazlan bersama-sama Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto dan Pengurus Besar MHC Singapura, Mohamed Hafiz Mohamed Shariff.
Nor Syazlan berkata, MoU berkenaan juga dimeterai sempena penganjuran Wonderful Nusantara Festival (WNF) 2025 yang kini telah memasuki edisi ketiga.
Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan kesungguhan Johor sebagai hab penting yang merancakkan pertukaran budaya, seni persembahan dan pelancongan berasaskan warisan di rantau ini.
“Menerusi WNF, kita dapat memperkenalkan kepelbagaian kebudayaan dan kesenian Johor serta nusantara, yang mana kita tidak perlu pergi jauh untuk lihat bagaimana keunikan kesenian dari dua negara ini,” katanya.
Menurutnya, WNF tahun ini turut mendapat penyertaan baharu daripada kerajaan Thailand menerusi Bunditpatanasilpa Institute of Thailand dan Majlis Seni Sarawak.
Festival itu katanya, bermula semalam sehingga Ahad ini di kompleks tersebut yang menghimpunkan pelbagai aktiviti seni, persembahan budaya, pameran serta gastronomi nusantara negara terlibat.
Ia meliputi Pameran Pavilion Budaya yang menampilkan warisan dan seni, Live Cultural Showcase dan aktiviti interaktif di Rumah Zapin, Pementasan Teater Dewata, Nusantara Food Festival anjuran MaQan Event dan persembahan eksklusif daripada Thailand iaitu 3rd Wonderful Nusantara Soirée – A Regal Gala of Radiance.
Jelas Nor Syazlan, pihaknya menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara ke festival berkenaan dengan lebih 10,000 orang telah berjaya dicatatkan setakat ini.- MalaysiaGazette
















