KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) memberi tumpuan kepada inisiatif strategik bagi merancakkan pertumbuhan sektor pertanian, meningkatkan taraf hidup petani dan penternak serta memperkukuh dasar keterjaminan makanan negara.
Mesyuarat tersebut turut memberi penekanan terhadap usaha memperkasa data sektor pertanian dan agromakanan sebagai langkah memperkukuh perancangan serta tadbir urus sektor berkenaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara perkara utama yang dibincangkan ialah strategi meningkatkan kemandirian sektor ternakan negara melalui cadangan penubuhan Lembaga Ruminan Negara, berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Beliau berkata, kerajaan kini dalam proses memuktamadkan dasar baharu keterjaminan makanan bagi menangani cabaran yang semakin kompleks, berpaksikan pendekatan bersepadu, berasaskan bukti serta dipacu oleh misi nasional.
“Dasar tersebut akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk meningkatkan kecekapan pengeluaran pertanian dan agromakanan, menjamin kemampanan sistem makanan negara, memperkukuh diplomasi makanan serantau, menggalakkan pemakanan sihat serta memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar berkenaan, kerajaan akan memperkenalkan perundangan khusus bagi menyelaras tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian, sekali gus memperkukuh tadbir urus dalam memastikan kemampanan dan keterjaminan makanan negara secara menyeluruh.
Ujarnya, selain itu, perancangan dasar turut diperkukuh melalui inisiatif Sistem Statistik Pertanian Bersepadu (Tanistats) yang berperanan memperkasa perkongsian data pertanian nasional serta memacu pertumbuhan sektor pertanian berasaskan digital.
Katanya, KPKM kekal komited untuk terus merangka dasar serta melaksanakan inisiatif progresif demi kelangsungan masa depan pertanian dan keterjaminan makanan negara.
“KPKM akan terus melakar dasar yang bersifat inklusif dan berpaksikan rakyat bagi memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi cabaran keterjaminan makanan pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette
















