TANGKAK – Empat maut dalam nahas melibatkan tiga motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 32.5 di Jalan Muar–Segamat di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan berlaku pukul 10.55 malam dan mengorbankan empat mangsa termasuk seorang remaja berusia antara 18 hingga 20 tahun.
“Tiga mangsa iaitu penunggang motosikal Yamaha 135LC dan penunggang Yamaha Y15ZR serta pembonceng, remaja perempuan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha 135LC meninggal dunia di Hospital Tangkak di sini, semasa mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu kereta Perodua Myvi bersama-sama penumpang tidak mengalami kecederaan.
Roslan berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Tangkak di sini untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau dan pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci berhubung nahas itu.- MalaysiaGazette
















