Kanak-kanak terlibat dalam Sesi Kuliah - Sentuhan Selamat dan Tidak Selamat dalam bengkel C.A.R.E. yang dianjurkan oleh Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR – Isu penderaan seksual kanak-kanak kekal sebagai salah satu masalah sosial paling serius di Malaysia, khususnya dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah (B40) yang berdepan dengan kekangan akses kepada maklumat dan sokongan.

Menyedari hakikat ini, sekumpulan pelajar daripada Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya telah menganjurkan program “Bengkel C.A.R.E.: Hak Saya, Suara Saya” yang bertempat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai.

Bengkel ini dijalankan dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Childline Foundation Malaysia, serta pemimpin komuniti setempat.

Pengarah Projek, Delphine Arianna Thompson berkata, program ini dibahagikan kepada beberapa sesi interaktif dan pendidikan iaitu Sesi Penumpuan (Jom Teka Emosi) yang membantu kanak-kanak memahami bahawa emosi mereka adalah petunjuk penting sama ada sesuatu situasi itu selamat atau tidak.

Selain itu, Sesi Kuliah, yang mana fasilitator menerangkan dengan gaya mesra kanak-kanak tentang konsep penderaan seksual, perbezaan sentuhan selamat dan tidak selamat, strategi No-Go-Tell, serta hak mereka di bawah undang-undang dan Sesi bersama Childline Foundation, kanak-kanak dibimbing mengenali orang dewasa yang boleh dipercayai, dan menulis nama mereka pada helaian khas yang boleh disimpan sebagai rujukan jika berlaku sebarang kejadian.

Manakala Sesi Bertenaga & Penilaian pula menampilkan aktiviti permainan dan kuiz interaktif diadakan bagi memastikan peserta benar-benar memahami isi kandungan bengkel, sambal mengekalkan suasana yang menyeronokkan.

Selain itu, pasukan pelajar turut menghasilkan infografik yang ditampal di kawasan PPR selepas bengkel selesai. Infografik tersebut mengandungi maklumat ringkas tentang Langkah praktikal untuk ibu bapa, saluran aduan seperti Talian Kasih 15999, serta peringatan mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat untuk kanak-kanak.

Delphine berkata, kunikan projek ini terletak pada kolaborasi rentas fakulti dengan plajar undang-undang membawa perspektif tentang hak kanak-kanak dan sistem perlindungan, manakala pelajar pendidikan membantu menyesuaikan kandungan agar mesra dan mudah difahami oleh kanak-kanak.

“Kerjasama dengan pelajar pendidikan amat penting kerana topik ini sangat berat. Mereka membantu kami menyampaikan isu rumit seperti penderaan seksual dalam bentuk cerita, permainan, dan aktiviti yang kanak-kanak boleh fahami,” tambah Delphine.

Dr. Zalina Abdul Halim daripada Fakulti Undang-undang dan Prof. Dr. Vishalache A/P Balakrishnan daripada Fakulti Pendidikan memainkan peranan penting sebagai penyelia projek dengan memberikan bimbingan yang berterusan serta panduan akademik yang jelas sepanjang pelaksanaan Bengkel C.A.R.E.: Hak Saya, Suara Saya.

Mereka bukan sahaja memastikan kandungan projek selari dengan objektif SULAM dan keperluan kursus, malah turut membantu pasukan mengekalkan keseimbangan antara pendekatan akademik, praktikal, dan sensitiviti terhadap komuniti.

Program ini bukan sahaja memberi kesan kepada kanak-kanak dan komuniti setempat, tetapi juga membentuk pengalaman bermakna kepada para pelajar yang terlibat.

Mereka bukan sekadar menimba ilmu akademik, malah mengaplikasikan pengetahuan untuk menyumbang kepada masyarakat.

Menurut Marsya Reana Sofea, Setiausaha Projek, pengalaman ini juga memperkukuhkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan projek – persediaan penting untuk kerjaya profesional pada masa hadapan.

“Sebagai pelajar undang-undang, saya kini lebih memahami bahawa undang-undang bukan sekadar peraturan di atas kertas, tetapi alat
untuk keadilan sosial. Melindungi komuniti rentan, terutamanya kanak-kanak, memerlukan bukan sahaja undang-undang yang baik tetapi juga kesedaran dan tindakan bersama,” katanya.

Melalui usaha seperti Bengkel C.A.R.E., suara kanak-kanak dari komuniti B40 diangkat, kesedaran dipupuk, dan mesej jelas disampaikan: penderaan seksual bukan isu untuk disenyapkan, tetapi realiti yang mesti ditangani dengan berani dan penuh belas ihsan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast