KUALA LUMPUR – Para wartawan antarabangsa melahirkan rasa kagum dan berpuas hati dengan fasiliti yang disediakan sepanjang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Malah, mereka turut menyifatkan kemudahan yang disediakan itu adalah setanding dengan prestij acara bertaraf antarabangsa seperti sidang kemuncak tersebut.
Bagi wartawan akhbar Timor Post, Isabel Ermelita, dia sememangnya menantikan untuk membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN kali ini memandangkan negaranya bakal mencatat sejarah diterima anggota ASEAN ke-11.
Sehubungan itu, katanya, dia berharap dapat mencatat sejarah penting itu dengan pantas, segera dan tepat untuk tatapan rakyat Timor-Leste.
“Saya berharap apabila tiba masanya untuk Timor-Leste menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN, kami dapat menganjurkannya setanding dengan yang dilakukan Malaysia di sini,” katanya.
Isabel yang merupakan wartawan media cetak Timor Post ditemui MalaysiaGazette di pusat media Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.
Sementara itu, bagi wartawan dari Rusia, Uliana Miroshkina, dia turut menyifatkan kemudahan yang disediakan kepada pengamal media sepanjang acara tersebut antara yang terbaik pernah dinikmati sepanjang kariernya.
Menurutnya yang merupakan wartawan agensi media, Ria Novosti yang berpangkalan di Indonesia, ini bukan kali pertama dia membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN, namun pengalaman di Malaysia adalah sesuatu yang berbeza.
“Saya tidak berdepan sebarang masalah sepanjang membuat liputan di sini dan arahan juga diberikan dengan jelas kepada kami selain petugas-petugas di sini juga sangat membantu dan memudahkan kerja kami,” katanya.
Sementara itu, bagi wartawan Al Jazeera, Samer Allawi, dia sememangnya tidak asing lagi persekitaran media di Malaysia kerana sudah bertugas di negara ini sejak kira-kira 13 tahun lalu.
Namun, ujarnya, untuk menganjurkan sebuah acara sebesar Sidang Kemuncak ASEAN yang dihadiri ramai pemimpin utama dunia bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun, ujarnya, Malaysia berjaya melaksanakannya dan kemudahan yang disediakan kepada para petugas media disifatkan setanding dengan prestij acara itu yang bertaraf antarabangsa.
Katanya lagi, meskipun dia perlu mengadakan beberapa sesi temu bual bersama pemimpin negara dalam masa sehari, namun ia dapat dilaksanakan dengan bantuan dan kecekapan para petugas sidang kemuncak tersebut. – MalaysiaGazette
















