KUALA LUMPUR – Prosiding sebutan kes penceraian pasangan selebriti, Uqasha Senrose dan Kamal Adli ditangguhkan kepada 19 November depan di Mahkamah Rendah Syariah, di sini.
Penangguhan ini selepas peguam syarie mewakili pelakon, Uqasha menarik diri daripada mewakilinya atas alasan wujudnya isu profesionalisme antara beliau dan pelakon terbabit.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf ketika prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali, pagi tadi.
“Saya sudah memberitahu kepada anak guam mengenai perkara ini dan kami bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik.
“Permohonan tersebut akan difailkan secara rasmi selepas prosiding hari ini,” katanya ketika perbicaraan berlangsung.
Susulan itu, peguam mewakili Kamal, Ahmad Hadi Mohamad Salleh memohon agar kes terbabit ditangguhkan bagi memberi peluang kepada Uqasha menjelaskan ketidakhadirannya.
Hakim Syarie kemudian membenarkan permohonan penarikan diri peguam plaintif dan memaklumkan bahawa ketidakhadiran Uqasha hari ini adalah yang pertama.
Dalam pada itu, mahkamah turut mengeluarkan amaran mengesahkan sama ada beliau ingin meneruskan kes berkenaan atau sebaliknya.
Terdahulu, Kamal Adli atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, tiba diperkarangan mahkamah sekitar pukul 9.45 pagi ditemani peguamnya serta rakan rapat.
Ketika ditemui media sebelum prosiding, Kamal memaklumkan, kehadirannya ke mahkamah atas niat baik untuk menyelamatkan rumah tangga yang sedang bergolak.
Kemudian, Uqasha selaku plaintif, dilihat lewat menghadiri prosiding hari ini kira-kira jam 10.30 pagi tadi bersama keluarga dan peguam baharunya.
Beliau sebelum ini memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman dalam rumah tangga.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 15 bulan, Hawra Uqaira. – MalaysiaGazette
















