Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Perjanjian yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald Trump, kelmarin mesti dibincangkan di Parlimen bagi memastikan ketelusan kerajaan dan kebertanggungjawabannya dalam perjanjian itu.

Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kerajaan mesti melakukan kajian mendalam yang neutral bagi mengkaji kesan perjanjian terbabit terhadap semua golongan khususnya peniaga kecil.

Tegasnya, dasar awam yang sedia ada juga mungkin akan terkesan dengan perjanjian tersebut.

Tambah beliau, perlindungan kepada peniaga tempatan dan kedaulatan negara sangatlah penting dan tidak boleh diketepikan.

“Perjanjian yang ditandatangani oleh PMX dengan Amerika Syarikat tersebut mestilah diratifikasi oleh Parliamen jika ia melibatkan pengenalan undang-undang tempatan baharu atau pindaan terhadap undang-undang sedia ada, atau ia melibatkan perbelanjaan dana awam atau ia memberi kesan terhadap hak warganegara dan kedaulatan negara.

“Parlimen mestilah membuat ratifikasi untuk memberi kuatkuasa tempatan jika ia melibatkan hak, kewangan dan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, antara perkara di dalam perjanjian tersebut yang mungkin memerlukan pindaan undang-undang adalah Artikel 2.5 yang mana Malaysia tidak boleh mewajibkan barangan industri dari Amerika Syarikat seperti ubat-ubatan, kosmetik dan lain-lain untuk mendapatkan pensijilan halal.

Katanya, ia memerlukan pindaan undang-undang seperti Akta Perihal Dagangan 2011 dan kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Pentadbiran Agama Islam 1993 dan beberapa undang-undang lain.

“Malah perjanjian itu juga akan memberi kesan kepada hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Selain itu menurut beliau, perjanjian tersebut turut merangkumi pembelian besar-besar daripada syarikat berkaitan kerajaan seperti Malaysia Airlines Group, Petronas, Tenaga Nasional Berhad dan lain-lain yang mungkin akan melibatkan dana awam.

Artikel 3.3: Perjanjian Perdagangan Digital yang menyebut Malaysia hendaklah berunding dengan Amerika Syarikat sebelum menandatangani mana-mana perjanjian perdagangan digital baharu dengan negara lain yang boleh menjejaskan kepentingan penting Amerika Syarikat juga perlu diratifikasi di Parlimen.

Zainul Rijal menjelaskan, sebagai negara berdaulat Malaysia tidak perlu berunding dengan mana-mana negara sebelum menandatangani mana-mana perjanjian dengan negara lain.

Tegasnya, perkataan yang digunakan di dalam perjanjian adalah ‘shall’, ia bermakna mandatori bukan pilihan.

Sementara itu, Artikel 5.1 katanya, menyatakan Malaysia mesti mengikut langkah Amerika Syarikat dalam sekatan atau duti tambahan.

Ini jelas beliau, akan menyebabkan Malaysia kehilangan kebebasan untuk menyelenggara ekonomi sendiri.

“Sebelum kedatangan Presiden Trump kita dijanjikan bahawa inilah masa yang sesuai bagi Malaysia menegur Trump dan memperjuangkan isu Palestin.

“Kita juga diberitahu suara Malaysia akan didengar oleh Amerika Syarikat. Media langsung tidak menyiarkan apa-apa berita mengenai perkara-perkara ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast