KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberikan penjelasan mengenai isu perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai semasa kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia, baru-baru ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata, penjelasan perli diberikan memandangkan terlalu banyak kritikan negatif berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani antara Malaysia dan AS termasuk di Parlimen sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Banyak yang diperkatakan mengenai isu perdagangan Malaysia-Amerika yang di tandatangani sempena kehadiran Trump ke Malaysia.
“Hassan Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang) buat dakwaan di Parlimen, Malaysia perlu bayar RM1 Trillion untuk membeli barangan Amerika. Benarkah?” soal beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Hassan yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang menzahirkan kekesalan terhadap tindakan Putrajaya yang menandatangani perjanjian berhubung Jual Beli (SPA) gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat (AS) yang disifatkannya satu penggadaian negara kepada AS.
“Satu trilion ringgit (perjanjian LNG) sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas, Lembaga Hasil Dalam negeri kena kutip, Kastam kena kutip semuanya nanti kita bagi kepada Amerika.
Menurut Puad, Malaysia perlu membayar sebanyak RM1 trilion untuk membeli barangan AS sebagai sebahagian daripada urusan perdagangan tersebut.
Beliau mendakwa keputusan itu seperti satu bentuk penggadaian negara kepada AS.
“PMX perlu buat sesi Taklimat Khas sama seperti yang dibuat apabila menjelaskan isu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di mana Kerajaan Pusat perlu bayar 40 peratus hasil cukai kepada Sabah,” ujarnya.
Puad berkata, taklimat rasmi diperlukan bagi memastikan rakyat memahami kedudukan sebenar dan tidak termakan dakwaan yang belum disahkan.
Dalam masa sama, Puad percaya isu itu tidak boleh dibiarkan tanpa maklum balas segera daripada kerajaan.
“Setidak tidaknya Tengku Zafrul kena jawab segera,” katanya.
Jelas beliau lagi, segala bentuk perjanjian perdagangan yang melibatkan jumlah besar serta kepentingan nasional wajar didedahkan secara telus dan demokratik melalui Parlimen. – MalaysiaGazette
Trump datang, kita serah kekayaan! Hassan gempur kerajaan isu LNG
















