Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

BANGI – Dalam usaha memperkukuh dimensi hafazan al-Quran di peringkat sekolah rendah, satu modul mini Tahfiz Al-Falah dilancarkan bagi memperkasa pendidikan Islam berteraskan al-Quran dan sunnah, selaras aspirasi Pelan Transformasi Al-Falah dan gagasan Malaysia Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, modul mini ini bukan hanya menumpukan hafazan semata-mata tetapi turut memberi penekanan terhadap aspek pemahaman, penghayatan, pengulangan dan penilaian berkala.

“Modul ini nanti akan dilihat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Sudah tentu kejayaan pelajar-pelajar di sekolah  bila dia gunakan modul Mini Fafiz Al-Falah ini, kalau boleh diaplikasikan di sekolah-sekolah di bawah pentadbiran Jawi dan juga Jakim, itu pun satu perbaikan,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas menghadiri penyerahan sumbangan wakaf Smart Board kepada Yayasan Bangi Bandar Ilmu bagi pelaksanaan modul mini tahfiz di Kompleks Pendidikan Islam Bangi, hari ini.

Modul berkenaan dihasilkan oleh Sekolah Rendah Islam Integrasi Bangiku merangkumi 41 surah dan tiga ayat pilihan, disusun berasaskan silibus Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kaedah pengajaran menggunakan pendekatan takrir (ulangan), tasmi‘ (semakan), muraja‘ah (ulangkaji) dan tahriri (penulisan) bagi memastikan hafazan lebih kukuh dan menyeluruh.

Mohd Na’im berkata,  pelaksanaan modul itu menyokong teras utama Pelan Al-Falah, termasuk kesejahteraan insan dan pentadbiran Islam mampan, selain memperkukuh Kempen Kalimah Toyyibah ke arah pembentukan masyarakat berzikir, berilmu dan berakhlak.

Dalam acara sama, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) turut menyumbangkan papan pintar bernilai RM12,000 kepada Yayasan Bangi Bandar Ilmu menerusi dana wakaf tunai bagi tujuan pelaksanaan Modul Mini Tahfiz Al-Falah dan pembelajaran interaktif pelajar.

Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada hampir 260 pelajar di Kompleks Pendidikan Islam Bangi, melalui kaedah pengajaran yang menggunakan pendekatan takrir, tasmi‘, muraja‘ah dan tahriri bagi memastikan hafazan lebih kukuh serta menyeluruh.

YWM juga menaja pelajar keluarga B40 bagi mengikuti pembelajaran interaktif melalui platform digital Waqf Go Learning. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast