Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, memasukkan replika cek cura pada simbolik pelancaran Akaun Amanah Kemajuan, Pembangunan dan Pemuliharaan Al-Quran sempena Multaqa MADANI bersama Lembaga Pelesenan Pencetakan Al-Quran 2025 di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2025.

SEPANG – Lebih 53,000 pelbagai jenis teks dan bahan al-Quran yang melanggar Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326) disita sejak awal tahun ini hingga September lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, berkata ia melibatkan nilai sitaan berjumlah kira-kira RM1.6 juta dengan 295 kertas siasatan turut dibuka.

Menurut beliau, sepanjang Ops Mulia yang dijalankan pada bulan Ramadan tahun ini juga, sebanyak 29,039 pelbagai jenis teks dan bahan al-Quran yang melanggar akta sama turut disita.

Tambahnya, ia melibatkan nilai rampasan berjumlah RM957,762.10 dengan 201 kertas siasatan dibuka.

“Saya ingin menegaskan bahawa kebebasan berinovasi tidak bermakna kita bebas daripada tanggungjawab terhadap kesahihan teks dan hukum syarat (dalam penerbitan al-Quran).

“Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) perlu berperanan menjaga kepada kesucian al-Quran.

“LPPPQ bukan penghalang kepada kemajuan, tetapi penapis kepada kemudaratan yang boleh menjejaskan kesahihan bacaan serta kefahaman umat Islam terhadap al-Quran,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Multaqa Madani Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) di sini malam tadi.

Ssementara itu, Shamsul Anuar berkata, setakat bulan ini, sebanyak 39 syarikat masih memiliki Lesen Untuk Mencetak Teks Al-Quran yang aktif di bawah Akta 326.

Menurut beliau, pemberian lesen itu adalah berdasarkan Seksyen 5(1) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 yang memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh mencetak, menerbitkan atau membantu dalam penerbitan mana-mana teks al-Quran tanpa lesen sah daripada LPPPQ.

Jelasnya, KDN melalui LPPPQ serta Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan.

Sehubungan itu, tambahnya, beberapa komitmen dan inisiatif akan dilancarkan ke arah meningkatkan mutu dan produktiviti LPPPQ ke arah memperkukuhkan lagi sistem pemeliharaan al-Quran bersesuaian dengan cabaran semasa yang semakin kompleks.

Ujar beliau, ia termasuk peluncuran Modul Profesionalisme Panel Semakan Al-Quran (ProQuran) yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan kualiti perunding al-Quran yang dilantik oleh industri percetakan serta penerbitan al-Quran.

“Turut diperkenalkan Sistem Semakan Al-Quran Pintar (Intelligence Tashih Al-Quran – iTAQ) berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), bagi membolehkan proses semakan dan pencetakan al-Quran dilakukan dengan lebih tepat, pantas dan selaras dengan keperluan semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast