KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 79 Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Kampung Bukit Grebar, semalam.
Mangsa, Nur Athiya Inara Isnorizal, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu akibat kecederaan parah di kepala selepas dirawat di zon kecemasan hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian kira-kira jam 10.27 pagi itu berlaku apabila kereta Perodua Axia dipandu bapa mangsa, Isnorizal Ismail, 25, hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lagi Perodua Axia yang berhenti untuk membelok ke kanan.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan berpusing sebelum dilanggar sebuah Honda Accord dari arah bertentangan.
“Kenderaan Honda Accord berkenaan kemudian terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lagi Honda Accord yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa bersama ibu bapanya, Nur Azzahra Manaf (ibu), 25, yang mengalami kecederaan ringan, dikejarkan ke Hospital Setiu sebelum bayi berkenaan dipindahkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, bayi tersebut disahkan meninggal dunia jam 8.09 malam ketika dirawat di zon kecemasan HSNZ. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohd Zain berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan otak teruk dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















