JOHOR BAHRU – Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa mengugut wartawan dalam satu sidang akhbar semalam disifatkan sebagai angkuh dan tidak profesional.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zulkifli Bujang berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja mengancam profesionalisme wartawan yang menjalankan tugas liputan tetapi juga bercanggah dengan semangat keterbukaan dalam Kerajaan Madani.
“Sebagai Menteri, beliau sepatutnya memberikan penjelasan secara berhemah, bukannya mengeluarkan ugutan seperti yang berlaku semalam apabila beliau memberi amaran kepada wartawan.
“Menteri tidak sewajarnya menggunakan kedudukannya untuk menakut-nakutkan pengamal media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam program prapelancaran projek ‘I Lite U’, yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.
Kor Ming menjelaskan, itu merupakan acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Namun, pemimpin DAP itu kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia berkenaan bahawa dia akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan diajukan.
Semalam, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) membidas tindakan itu yang bukan sahaja tidak wajar, malah cubaan menakut-nakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pertanyaan wartawan Utusan Malaysia itu adalah jelas dan berasas iaitu mengenai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.
Tegasnya, setiap institusi awam serta anggota pentadbiran mempunyai tanggungjawab untuk memartabatkannya.
Justeru, beliau menggesa Kor Ming membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wartawan terbabit, kepada organisasi media yang diwakilinya serta kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan yang tidak wajar itu.
“Saya juga menyeru agar National Union of Journalists (Malaysia) (NUJ) dan pihak-pihak berkaitan menyemak insiden ini serta mempertimbangkan langkah penguatkuasaan dan garis panduan yang lebih tegas bagi melindungi kebebasan media.
“Kebebasan media ialah asas kepada demokrasi. Tiada pihak, termasuk seorang Menteri, harus sewenang-wenangnya mengancamnya,” katanya.- MalaysiaGazette
















