Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki rakyat Malaysia maut dalam satu kejadian tembakan di sebuah rumah di pekan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak berkuasa Thailand dan sedang meneliti maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.

“Ya, saya sahkan memang ada kejadian berkenaan, apa-apa butiran lengkap akan dimaklumkan kelak selepas dapat laporan penuh pihak berkuasa Thailand,” katanya ringkas ketika dihubungi media hari ini.

Menurut laporan awal media Thailand, mangsa yang berusia 33 tahun ditembak ketika berada di rumahnya di pekan Sungai Golok pada malam Sabtu.

Mangsa dilaporkan parah dan dikejarkan ke hospital berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Polis Thailand memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati suspek yang dipercayai mengenali mangsa telah melarikan diri sebaik kejadian berlaku.

“Suspek yang dipercayai warga tempatan meninggalkan sepucuk pistol di lokasi kejadian selepas melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa,” kata jurucakap polis Thailand.

Pihak berkuasa di Narathiwat kini giat memburu suspek berkenaan dan tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada perselisihan peribadi atau urusan perniagaan.

Sumber keselamatan Thailand turut memaklumkan bahawa beberapa saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan, termasuk jiran dan individu yang dikatakan pernah berurusan dengan mangsa.

Setakat ini, pihak polis Malaysia masih menunggu laporan penuh daripada rakan sejawat di Thailand bagi membantu urusan pengesahan identiti dan siasatan lanjut kes berprofil tinggi itu.

Dalam pada itu, ibu kepada mangsa, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata beliau menerima khabar duka itu daripada menantunya, Wan Fatihah Mat Hussin kira-kira sejam selepas dimaklumkan anaknya cedera ditembak. -MalaysiaGazette

Jenazah mangsa tembak di Golok dibawa pulang ke Pasir Mas hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast