KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggantung operasi syarikat bas ekspres, Zulco Sdn. Bhd. (Aeroline), selama 30 hari bermula 6 November hingga 5 Disember 2025.
Menurut APAD, hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu menyalahgunakan lesen bas ekspres dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan.
“Bas syarikat juga dikesan dikesan beroperasi di luar terminal tanpa kebenaran APAD pada 3 Februari, 21 Mei dan 10 Oktober lepas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, penggantungan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan syarikat tersebut dilakukan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 201 kerana syarikat gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, khususnya di bawah Perkara 16 dan Perkara 19, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan Bas Ekspres.
Sebelum ini, APAD turut mengenakan tindakan penggantungan sementara terhadap dua buah bas milik syarikat itu selama 37 hari (3 April – 9 Mei 2025) dan selama 30 hari (24 Julai – 22 Ogos 2025).
Katanya, pada 21 Oktober lalu, Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen memutuskan syarikat itu bersalah atas kesalahan berulang dan mengenakan penggantungan Lesen Pengendali selama 30 hari.
Berikutan itu, Zulco Sdn Bhd tidak dibenarkan mengendalikan perkhidmatan di bawah Lesen Pengendali berkenaan sepanjang tempoh tersebut.
Menurut APAD, penggantungan itu bertujuan memastikan keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan bandar dan menyokong usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan sistem bandar teratur serta selamat.
“APAD turut mengambil keputusan untuk menggantung sementara lesen syarikat bas ini setelah mengenal pasti beberapa isu pelanggaran syarat lesen yang berulang dan memerlukan tindakan pembetulan,” ujarnya.
APAD berkata, isyarikat berkenaan sebelum ini dinasihatkan dan diberi amaran untuk menukar permit perkhidmatan ke terminal yang diluluskan, namun enggan berbuat demikian.
















