KABUL – Sekurang-kurangnya 20 orang telah terkorban dan beratus-ratus cedera selepas gempa bumi melanda utara Afghanistan, kata pihak berkuasa tempatan.
Jumlah korban itu dijangka meningkat ketika usaha menyelamat masih diteruskan.
Gempa bumi dengan 6.3 magnitud itu melanda berhampiran Mazar-e-Sharif, salah sebuah bandar terbesar di Afghanistan, yang didiami oleh kira-kira 500,000 orang, pada awal pagi Isnin, sekitar jam 1 pagi waktu tempatan (20:30 GMT).
Ia berlaku pada kedalaman 28 kilometer dan diberi amaran jingga yang menunjukkan “kemungkinan besar korban jiwa”.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Kerajaan Taliban Sharafat Zaman Amar berkata, lebih 20 orang telah terbunuh dan lebih 320 cedera.
Sebelum itu, Jurucakap Taliban, Zaid berkata, ramai orang cedera di daerah Sholgara, selatan Mazar-e-Sharif.
“Kebanyakan kecederaan disebabkan jatuh dari bangunan tinggi,” katanya. tulisnya di X.
Mazar-e Sharif menempatkan lebih 500,000 orang penduduk dan kebanyakannya bergegas ke jalanan apabila gempa bumi itu berlaku kerana mereka bimbang rumah mereka akan runtuh.
Banyak kematian juga dilaporkan di Samangan, sebuah wilayah pergunungan berhampiran Mazar-e-Sharif, menurut jurucakapnya.
Gempa bumi pada hari Isnin itu berlaku selepas gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda wilayah pergunungan timur Afghanistan pada akhir Ogos, membunuh lebih 1,000 orang.
Gempa bumi itu membawa maut kerana rumah-rumah luar bandar di kawasan-kawasan ini biasanya dibuat daripada tanah liat dan kayu balak.
Penduduk terperangkap apabila rumah mereka runtuh semasa gempa bumi.
Afghanistan sangat terdedah kepada gempa bumi kerana lokasinya di atas beberapa garisan sesar di mana plat tektonik India dan Eurasia bertemu. – Agensi
















