GEORGE TOWN – Satu video tular di media sosial mendakwa berlaku kejadian culik bayi di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini, sebenarnya hanyalah latihan tahunan yang dijalankan pihak hospital.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, maklumat tular kejadian berlaku jam 3 petang tadi, namun siasatan mendapati ia merupakan latihan kecemasan bagi menguji kesiapsiagaan kakitangan hospital dalam menghadapi situasi kecemasan.
“Pihak hospital mengadakan latihan tahunan bagi memastikan semua anggota bersedia dan tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya insiden sebenar berlaku,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video atau mesej berkaitan kejadian itu kerana ia boleh menimbulkan salah faham serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Orang awam diminta merujuk maklumat sahih daripada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 11 saat pengawal keselamatan mengawal pintu masuk hospital berkenaan daripada dimasuki segelintir petugas kesihatan serta orang awam. – MalaysiaGazette
















