Sebahagian daripada 850 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil bekalan air yang disediakan selepas kediaman mereka di Senai, Johor Bahru terputus bekalan. Foto Facebook ADUN Senai, Wong Bor Yang

JOHOR BAHRU – Kadar pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di negeri ini sudah mencapai 94 peratus setakat pukul 5 petang tadi selepas terjejas akibat pencemaran Sungai Johor di Kota Tinggi sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bekalan air yang sudah pulih itu melibatkan 201,554 daripada 214,154 pemegang akaun.

“Ini bermakna baki 12,600 akaun masih belum pulih sepenuhnya pada masa ini. Loji Rawatan Air (LRA) Semangar telah pulih sepenuhnya, manakala LRA Sungai Johor masih dalam proses pemulihan berperingkat yang menjejaskan baki lebih 12 ribu akaun di beberapa kawasan seperti Tebrau, Skudai, Tiram dan Gelang Patah.

“Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, sebanyak 31 lori air dengan jumlah kapasiti keseluruhan 613 meter padu telah digerakkan setiap hari sehingga kini bagi penghantaran air bersih ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, secara purata, setiap lori melakukan antara lima hingga enam trip sehari bagi memastikan keperluan pengguna dipenuhi tanpa henti.

Bantuan luar dari Melaka dan Negeri Sembilan katanya, turut digerakkan ke kawasan tekanan rendah bagi memastikan bekalan alternatif disalurkan secara berterusan dan tersusun.

Jelas beliau, faktor penggunaan mendadak serta simpanan panik pengguna turut menjejaskan paras tangki utama di beberapa lokasi, menyebabkan bekalan tidak selanjar (intermittent supply).

Beliau memberitahu, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 8 hingga 12 jam akan datang bergantung kepada kestabilan tekanan dan pengisian semula tangki utama.

Jumaat lalu, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk pada pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Mohamad Fazli dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri mengambil langkah segera meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast