KUALA LUMPUR – Harga diesel di Semenanjung Malaysia naik tujuh sen kepada RM3.02 seliter bagi tempoh 6 November hingga 12 November 2025, seiring dengan peningkatan harga minyak dunia.
Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga.
Dalam pada itu harga runcit produk petroleum lain yang ditetapkan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism bagi tempoh 6 November hingga 12 November adalah kekal.
Harga runcit petrol RON97 kekal pada RM3.20 seliter manakala harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM2.60 seliter.
Selain itu, harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter; dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini. -MalaysiaGazette
















