SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dijangka membuat pengambilan veteran tentera (VAT) untuk memperkuat kawalan sempadan bermula Januari 2026.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pengambilan itu akan dilakukan secara kontrak untuk memenuhi 220 perjawatan baharu yang diperuntukkan bagi AKPS.
“Semua sedia maklum ianya dimaklumkan dalam Belanjawan Negara 2026. Justeru, ia berlandaskan kontrak yang sepatutnya dimulakan pada Januari 2026 apabila peruntukan disalurkan.
“Jadi, 220 perjawatan itu kita akan mula membuat pengambilan secara berperingkat-peringkat,” katanya kepada pemberita di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Shuhaily berkata, AKPS akan menerima 220 perjawatan baharu dengan keutamaan diberikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Shuhaily berkata, langkah itu bukan sahaja menambah kekuatan tenaga kerja tetapi turut membawa masuk pengalaman dan disiplin tinggi dalam kalangan bekas anggota tentera.
Dalam pada itu, Shuhaily turut berkata, pihaknya sudah menerima arahan daripada Ketua Setiausaha Negara untuk melakukan pengambilan 220 perjawatan itu secepat mungkin.
“Semalam kita sudah berjumpa dengan pihak veteran ATM. Sebelum ini pun saya ada keluar kenyataan, kita akan mengambil model yang telah digunakan oleh pihak Perhilitan yang sudah pakai hampir empat tahun lalu.
“Dia sebenarnya untuk tugasan-tugasan membantu, kuasa itu harus dilaksanakan bersama pegawai-pegawai AKPS kelak.
“Hasil mesyuarat kami tempoh hari, Ketua Setiausaha Negara mengarahkan kita untuk melaksanakannya secepat mungkin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















