LONDON – Bekas pemain bola sepak terkenal, David Beckham kini bergelar ‘Sir’ secara rasmi yang mana satu detik bersejarah buat legenda England dan Manchester United.
Bekas kapten England berusia 50 tahun itu menerima penganugerahan knighthood daripada Raja Charles III dalam satu majlis penuh istiadat di Berkshire sebagai pengiktirafan atas jasa besarnya terhadap bola sepak dan masyarakat Britain.
“Saya tak pernah rasa lebih bangga daripada hari ini
“Semua orang tahu betapa saya cintakan negara. Monarki amat penting buat keluarga saya dan ke mana pun saya pergi, orang selalu bertanya tentang keluarga diraja lantas ia buat saya rasa sangat bangga ,” ujar Beckham dengan penuh emosi.
Turut hadir memberikan sokongan ialah isterinya, Victoria Beckham, serta ibu bapanya, Sandra dan David.
Victoria pernah menerima gelaran OBE pada 2017 atas sumbangannya dalam industri fesyen turut mereka dan menjahit sendiri sut istiadat yang dipakai suaminya.
“Baginda (Raja Charles) cukup teruja dengan sut saya. Beliau antara individu berpakaian paling elegan yang saya kenal, malah banyak gaya saya diinspirasikan daripadanya.
“Saya tunjukkan gambar lama baginda memakai morning suit di waktu muda dan Victoria hasilkan sesuatu yang sepadan, kata Beckham sambil tersenyum.
Beckham meraih 115 penampilan bersama skuad England dan memegang lilitan kapten selama enam tahun antara 2000 hingga 2006.
Beliau mewakili negaranya dalam tiga edisi Piala Dunia dan dua Kejohanan Eropah (EURO).
Lepasan Akademi Manchester United itu memulakan karier profesionalnya pada 1992, di mana dia membantu United menjuarai pelbagai trofi termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah 1999 sebelum berpindah ke Real Madrid pada 2003 dengan nilai £25 juta.
Selepas empat musim di Sepanyol, beliau meneruskan karier di LA Galaxy termasuk dua perpindahan secara pinjaman ke AC Milan sebelum menutup tirai kariernya di Paris Saint-Germain pada 2013.
Meskipun begitu, sebenarnya pengaruh Beckham jauh melangkaui padang bola. Anak kelahiran London Timur itu pernah membantu kempen kejayaan Sukan Olimpik London 2012 dan sejak 2005 menjadi duta UNICEF menerusi inisiatif khas 7: The David Beckham UNICEF Fund yang dilancarkan pada 2015.
Pada 2024, beliau turut dilantik sebagai duta The King’s Foundation dengan menyokong projek pendidikan dan alam sekitar di bawah naungan Raja Charles.
Beckham sebelum ini menerima OBE daripada Ratu Elizabeth II pada 2003 dan mencuri perhatian rakyat Britain apabila beratur selama lebih 12 jam untuk memberi penghormatan terakhir kepada baginda ketika pemergiannya pada 2022.
Kini Beckham masih kekal dekat dengan sukan yang menaikkan namanya bilamana menjadi pemilik bersama kelab Salford City bersama Gary Neville dan juga pemilik bersama Inter Miami di Major League Soccer iaitu tempat bintang seperti Lionel Messi kini beraksi.
Beckham menjadi figura kelima dalam sejarah United menerima pengiktirafan ini selepas Sir Walter Winterbottom, Sir Matt Busby, Sir Bobby Charlton dan Sir Alex Ferguson. – Agensi
















