KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) menghentikan amalan ‘undang-undang dua darjat’ dalam pengurusan kes rasuah.
Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, negara kini berdepan fasa berbahaya apabila rasuah dilihat bukan lagi jenayah tetapi ‘deposit sementara’ yang boleh dipulangkan untuk mengelak hukuman dan menyifatkan amalan membayar untuk bebas sebagai tidak adil dan satu bentuk pengkhianatan yang merosakkan kepercayaan serta keadilan sosial.
“Negara ini sedang memasuki satu fasa yang sangat berbahaya dalam sejarah undang-undang dan integriti pentadbiran. Rasuah bukan lagi jenayah, ia sedang berubah menjadi ‘deposit sementara’. Ambil dulu, kalau kantoi, pulangkan. Selesai,” dakwanya dalam kenyataan.
Putra juga mendakwa wujud trend individu berprofil tinggi terlepas pendakwaan dengan memulangkan wang atau membayar denda kecil sebagai ‘Rasuah Berlesen Nasional (RBN)’.
Parti itu juga mempersoalkan ketelusan SPRM dan AGC dalam beberapa kes berprofil tinggi seperti kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kes rampasan RM170 juta dan tujuh jongkong emas melibatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta lebih 40 kes politik berstatus KIV dan NFA yang didakwa ‘hilang dalam kabus’.
Sehubungan itu, Putra menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyemak kes rasuah berprofil tinggi, menilai keputusan pendakwaan dan membentangkan hasil siasatan di Parlimen.
Parti itu juga memberi amaran bahawa sekiranya tiada penjelasan rasmi diberikan, Putra akan mendedahkan senarai penuh kes berprofil tinggi termasuk nama, angka, tarikh dan kronologi kepada umum.
“Rakyat tidak buta. Rakyat tidak tuli. Rakyat hanya sedang menunggu siapa yang berani bercakap benar,” katanya. – MalaysiaGazette















