Special Branch defamation suit pontianak false claims
Gambar hiasan

THE HAGUE, Belanda – Mahkamah Belanda menolak kes yang dibawa oleh aktivis pro-Palestin yang menuntut kerajaan negara ini menghentikan perdagangan dan eksport senjata ke Israel berikutan perang di Gaza.

Kumpulan yang terdiri daripada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menuduh Kerajaan Belanda gagal mengambil tindakan mencukupi untuk mencegah apa yang mereka sifatkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza, dengan dasar luar yang “jelas tidak sah” terhadap Israel.

Mereka menggesa mahkamah mengenakan larangan menyeluruh terhadap eksport senjata ke Israel, larangan eksport anjing tentera, serta larangan perdagangan di wilayah yang diduduki.

Namun, Mahkamah Rayuan di The Hague menolak semua hujah rayuan yang dikemukakan oleh organisasi tersebut dan mengarahkan mereka membayar kos guaman.

“Walaupun adalah munasabah untuk mengatakan terdapat risiko pembunuhan beramai-ramai dan pelanggaran serius hak asasi manusia, pada prinsipnya bukan tugas mahkamah untuk menetapkan langkah-langkah yang mesti diambil oleh kerajaan bagi mencegah perkara ini,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Mahkamah juga menyatakan Kerajaan Belanda telah pun mengambil beberapa langkah pencegahan.

Sebagai contoh, pihak berkuasa tidak akan meluluskan lesen eksport barangan ketenteraan jika terdapat risiko ia akan digunakan di Gaza, menurut mahkamah.

Semasa perbicaraan, peguam kerajaan menafikan bahawa dasar luar Belanda terhadap Israel adalah menyalahi undang-undang dan menegaskan bahawa setiap permohonan lesen eksport dinilai berdasarkan kes demi kes.

Mahkamah Rayuan di The Hague pada asalnya dijadualkan mengeluarkan keputusan pada 8 Oktober, namun penangguhan dibuat sementara menunggu keputusan Mahkamah Agung dalam kes serupa.

Dalam keputusan tersebut, Mahkamah Agung memutuskan bahawa keputusan untuk mengeksport komponen yang digunakan dalam jet pejuang Israel F-35 yang beroperasi di Gaza terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Belanda.

Susulan keputusan itu, kerajaan Belanda memutuskan untuk mengekalkan larangan sedia ada terhadap penghantaran komponen tersebut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast