KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyelar pembangkang yang disifatkan sering menggunakan sumber dan bahan berita tidak berkredibiliti untuk disensasikan di Parlimen.
Beliau merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang membangkitkan mengenai tuduhan bekas ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral A. Rangsi Kitiyansap terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Mohd Puad, Kitiyansap hanyalah pesara tentera yang tidak mempunyai `kredibiliti diplomatik’ selain merupakan ahli parti pembangkang di Thailand yang mana partinya tidak memenangi satu kerusi pun di Parlimen.
“Mempercayai cakap Rangsi sesuka hati sama seperti percaya cakap Prof Dr Solehah Yaacob yang mendakwa isteri Rasulullah (SAW) berasal daripada kepulauan Melayu.
“Prof kontroversi ini percaya pelayar Rom belajar buat kapal daripada orang Melayu.
“Di Malaysia ada bekas Jeneral yang tidak faham “simple english” apatah lagi bahasa Siam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Wan Ahmad Fayhsal dan Shahidan mendesak Kementerian Luar Negeri membuat kenyataan balas susulan tuduhan Kitiyansap yang menyifatkan Anwar `musuh dalam selimut’ ASEAN susulan perjanjian damai Thailand-Kemboja.
Menerusi wawancara yang tular di media sosial, Kitiyansap didakwa antara lain melabel Anwar sebagai `pengintip AS’ selain menggunakan perjanjian damai Thailand-Kemboja untuk mengangkat diri sendiri selaku Pengerusi ASEAN.
Kitiyansap turut meluahkan kemarahannya kerana mendakwa Perjanjian Damai Thailand-Kemboja sebenarnya telah membenarkan AS memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.
Dakwanya, perjanjian damai itu telah menggabungkan sekali perjanjian usahasama berkenaan cukai dagangan atau tarif dan nadir bumi (REE) dengan AS. – MalaysiaGazette
















