KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan tindakan dalaman dalam masa terdekat terhadap pegawai kanannya yang dituduh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen hari ini.
DBKL berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung pertuduhan tersebut dan tindakan itu akan dibuat mengikut peraturan yang sedia ada.
Dalam kenyataan sama, DBKL menegaskan, ia tidak berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku membabitkan warga kerjanya.
“DBKL kekal komited menegakkan integriti, ketelusan serta tadbir urus yang baik dalam semua urusan pentadbiran dan perkhidmatan kepada warga Kuala Lumpur,” kata DBKL.
Semalam, SPRM memaklumkan akan mendakwa empat indvidu terlibat dalam Op DC dan Op Tiger di dua mahkamah berbeza.
Menurut sumber, seorang pegawai kanan gred Jusa B DBKL yang ditahan dalam Op DC di Mahkamah Kuala Lumpur.
Turut didakwa dua pegawai bank dan seorang bekas pegawai bank terbabit dalam Op Tiger di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Terdahulu, SPRM membekukan sebanyak 37 akaun bank membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM17.5 juta dibekukan susulan penahanan empat individu tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pembekuan itu melibatkan 11 akaun peribadi, 23 akaun syarikat dan tiga akaun saham.
SPRM turut merampas wang tunai bernilai RM1.15 juta, €12,300 dan S$24,280 selain dua kereta mewah berjumlah RM650,000 serta koleksi beg tangan dan kasut berjenama dianggarkan bernilai RM100,000.
Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan 16 individu termasuk empat yang ditahan. – MalaysiaGazette
Pengarah Eksekutif DBKL mengaku tidak bersalah terima wang tunai RM50,000
















