ISKANDAR PUTERI – Letupan dan kebakaran di sebuah kapal kontena Kyparissia dari Malta, di Dermaga 4, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, hari ini tidak mengakibatkan pelepasan gas berbahaya atau toksik berlaku.
Menurut Jabatan Laut Malaysia (JLM), siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada sebuah kontena semasa kapal tersebut dalam pelayaran dari PTP menuju ke Lome, Togo.
“Susulan kejadian itu, kapal terbabit berpatah balik ke PTP (Dermaga 4) bagi mendapatkan bantuan kecemasan dan menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Insiden ini telah mengorbankan tiga orang, manakala tiga yang lain dilaporkan cedera dan telah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan tersebut malam ini.
JLM memaklumkan, pihak PTP telah mengesahkan bahawa tiada sebarang pelepasan gas berbahaya atau toksik berlaku akibat insiden berkenaan.
“Kawasan terjejas telah dikawal sepenuhnya dan semua laluan keluar masuk ke kawasan dermaga, termasuk pintu utama serta kawasan operasi, telah ditutup bagi tujuan keselamatan,” jelas kenyataan itu lagi.
JLM memaklumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan ejen kapal berkenaan.
“Pasukan Kawalan Tumpahan Minyak (Oil Spill Response Team) JLM juga berada dalam keadaan bersiap siaga sekiranya diperlukan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan hanya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih.
“JLM turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terlibat,” tambah kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah dilaporkan berkata, tiga pekerja kapal maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia terbakar di PTP tengah hari tadi.
Mangsa yang maut adalah warga tempatan berumur 59 tahun, warga Filipina dan Britain masing-masing berumur 40 an.
Tiga lagi cedera iaitu lelaki Malaysia (26) dan dua lelaki Filipina (40-an).- MalaysiaGazette
















