TEHRAN – Iran merancang untuk melakukan catuan air secara berkala di Tehran bagi mengehadkan penggunaan air ketika negara ini berdepan dengan kemarau terburuk dalam beberapa dekad.
“Langkah ini akan mengelakkan pembaziran, walaupun mungkin menyebabkan sedikit kesulitan,” kata Menteri Tenaga Abbas Aliabadi dalam siaran televisyen kerajaan.
Beberapa media tempatan melaporkan catuan air pada waktu malam sudah pun dilaksanakan di bandar raya besar yang mempunyai lebih daripada 10 juta penduduk itu.
Sebelum ini, media kerajaan Iran memberi amaran bahawa sumber utama air minuman di Tehran berisiko kehabisan dalam masa dua minggu akibat kemarau.
Empangan Amir Kabir, salah satu daripada lima empangan yang membekalkan air minuman kepada ibu negara itu, kini hanya menampung 14 juta meter padu air — iaitu lapan peratus daripada kapasiti keseluruhannya, menurut kenyataan Pengarah Syarikat Air Tehran, Behzad Parsa, yang dipetik oleh agensi berita IRNA.
Pada tahap itu, empangan tersebut hanya mampu membekalkan air kepada Tehran selama kira-kira dua minggu sahaja, katanya.
Bandar raya mega berpenduduk lebih 10 juta orang itu terletak di lereng selatan Banjaran Alborz, yang sering diselaputi salji dan menjulang setinggi 5,600 meter (18,000 kaki). Sungai-sungai dari banjaran ini biasanya menjadi sumber utama kepada beberapa takungan air di kawasan tersebut.
Namun, Iran kini berada dalam kemarau paling teruk dalam beberapa dekad.
Tahap hujan di wilayah Tehran dilaporkan “hampir tidak pernah berlaku dalam tempoh satu abad”, menurut seorang pegawai tempatan bulan lalu.
Setahun lalu, empangan Amir Kabir mempunyai 86 juta meter padu air, kata Parsa, tetapi kini berlaku “penurunan 100 peratus dalam kadar hujan” di wilayah Tehran. – Agensi
















