KUALA LUMPUR – Sebuah bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam menyebabkan seorang disahkan lemas, enam selamat manakala lebih 90 lagi dikhuatiri hilang.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku berhampiran perairan Malaysia-Thailand berhampiran Langkawi.
Menurut beliau, bot berkenaan adalah sebahagian daripada kapal besar (ibu kapal) yang membawa kira-kira 300 orang terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Rohingya sebelum dipindahkan ke tiga bot kecil ketika menghampiri sempadan negara.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan namun mereka dilaporkan telah berlayar sejak tiga bulan lalu.
“Lebih kurang tiga hari lalu, sebaik hampir tiba di sempadan perairan Malaysia, kumpulan itu dipecahkan oleh sindiket dengan dipindahkan ke tiga bot kecil, masing-masing memuatkan lebih kurang 90 ke 100 orang.
“Bagaimanapun bot yang membawa 90 orang itu dipercayai karam manakala dua lagi bot tidak dapat dikesan menghala ke arah mana,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.
Tambahnya, mangsa yang lemas adalah wanita Myanmar manakala enam lain yang ditemui selamat terdiri daripada warga Myanmar termasuk Rohingya dan Bangladesh.
Menurut beliau, tiga mangsa pertama yang ditemui pada pagi Sabtu adalah lelaki Myanmar, manakala tiga lagi yang ditemui pada petang hari yang sama terdiri daripada dua Rohingya dan seorang warga Bangladesh.
Menurut Adzli, hasil soal siasat ke atas mereka yang selamat memaklumkan setiap daripada mereka membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mengesan mangsa lain serta mengesan bot yang hilang. -MalaysiaGazette
















