KUALA LUMPUR –Taman Tema Sunway Lagoon sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan melibatkan sebuah roller coaster yang menyebabkan 10 pengunjung cedera.
Katanya, Taman Tema Sunway Lagoon memandang serius insiden tersebut dan kekal komited untuk memastikan semua tarikan dan fasiliti di tempatnya mencapai tahap keselamatan tertinggi di samping memastikan keselamatan dan kenyakinan pengunjung terjamin.
“Taman Tema Sunway Lagoon amat kesal atas insiden mengenai sebuah tarikan di Sunway Lagoon pada 22 Ogos 2026 yang melibatkan 10 pengunjung.
“Kami amat prihatin terhadap pengunjung yang terjejas dan kesulitan dialami oleh pengunjung serta keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, keselamatan dan kesejahteraan pengunjung adalah keutamaan mereka.
Sejak insiden tersebut, tumpuan utama Taman Tema Sunway Lagoon adalah terhadap penjagaan dan Kesihatan pengunjung-pengunjung yang terlibat.
“Kami telah menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan serta terus berhubung rapat dengan pengunjung-pengunjung dan keluarga mereka,” kata kenyataan itu lagi.
ARTIKEL BERKAITAN
Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan 10 orang pengunjung cedera selepas roller coaster mengalami kerosakan teknikal di sebuah taman tema di daerah Subang Jaya, malam kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira 9 malam itu, seramai 22 pengguna berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang menaiki permainan berkenaan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. -MalaysiaGazette
















