KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To menyindir seruan Perdana Menteri agar budaya ‘gaduh-gaduh politik’ yang telah lama membantutkan fokus kerajaan terhadap ekonomi dan kebajikan rakyat, dihentikan.
Ini kerana beliau mendakwa Anwar adalah punca pergolakan negara sejak 1998.
“Sekadar makluman kepada PMX: selama tempoh 28 tahun (1998-2025) yang lalu, 24 tahun daripada tempoh itu (1998–2018 dan 2020–2022) pergolakan politik negara berpunca daripada kamu sendiri.
“Maknanya, kalau ikut logik kamu sendiri, kamulah paling bertanggungjawab kenapa ekonomi dan pembangunan Malaysia terbantut selama ini,” katanya yang juga seorang pempengaruh media sosial dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata perbalahan politik berpanjangan telah banyak merugikan negara serta menjejaskan keupayaan kerajaan untuk menumpu pada dasar pembangunan ekonomi yang mampan.
Beliau menegaskan sudah tiba masa semua pihak menghentikan budaya ‘gaduh-gaduh politik’ dan menumpukan perhatian kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, Malaysia berada pada tahap di mana kekuatan ekonomi perlu menjadi keutamaan kerajaan, bukannya perebutan kuasa yang melemahkan kestabilan pentadbiran. -MalaysiaGazette
















