KUALA LUMPUR – Satu kertas siasatan dibuka berhubung beberapa video tular didakwa mengaibkan serta menghina anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malasyia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati rakaman itu dibuat ketika anggota URB sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan.
“Pemeriksaan pada kenderaan itu dijalankan dengan tertib mengikut peraturan yang ditetapkan dan semua individu terlibat dilepaskan.
“Siasatan turut mendapati, terdapat video lain memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan yang mengaibkan terhadap anggota terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular video seorang pemain bola Indonesia didakwa menghina anggota polis ketika menjalankan tugas sekaligus mengundang marah wargaenet yang menggesa tindakan tegas dikenakan.
video yang memaparkan pemain sebuah bola sepak terkemuka Indonesia itu bersama beberapa individu dalam sebuah kereta ditahan polis selepas didakwa memandu secara melawan arus tular di media sosial.
Anggota berkenaan dipercayai meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri dan pasport namun mereka didakwa gagal berbuat demikian sebelum dipercayai diminta menunjukkan kad pengenalan dari negara asal.
Berdasarkan video, lelaki berkenaan mendakwa anggota polis berkenaan meminta supaya mereka tidak memandu melawan arah dan turut melemparkan tohmahan kononnya anggota berkenaan mahu meminta wang.
Anggota polis berkenaan turut menegur supaya membawa pasport ketika berada di negara ini.
Berikutan itu, Wan Azlan berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan, tuduhan atau ulasan melulu yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menimbulkan kekeliruan awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap PDRM,” jelasnya.
Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7100 atau mana-mana balai polis berdekatan dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – MalaysiaGazette
















