Shazeli Kahar

SHAH ALAM – Polis megesahkan lelaki yang mati ditembak di sebuah stesen minyak di Klang pada Jumaat lalu adalah individu yang dikehendaki polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan turut menjurus kepada latar belakang mangsa didakwa terlibat dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Semakan mendapati, mangsa memiliki pelbagai rekod jenayah dan kita akan menyiasat berdasarkan latar belakang si mati yang tidak boleh hanya menjurus kepada satu aspek sahaja (SOSMA).

“Sehingga kini, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian dan menjurus kepada pelbagai sudut termasuk kemungkinan penglibatan kumpulan haram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Seorang lelaki mati ditembak di stesen minyak di Klang pada Jumaat lalu.

Shazeli juga memaklumkan, seramai tujuh individu telah dirakam keterangan termasuk isteri, ahli keluarga dan beberapa saksi kejadian yang terlibat.

Tambah beliau, hasil proses bedah siasat mendapati mangsa ditembak beberapa kali di bahagian dada dan perut namun belum dapat disahkan jumlah tembakan yang dilepaskan.

“Saya tidak dapat sahkan jumlah tembakan pada mangsa kerana kita belum peroleh laporan penuh bedah siasat daripada pihak hospital.

“Jenazah mangsa juga sudah dituntut ahli keluarga selepas bedah siasat dilakukan untuk proses pengebumian pada 9 November lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shazeli juga memaklumkan, pihaknya masih lagi memburu beberapa suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan tersebut.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun mati ditembak dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Klang.

Shazeli dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung insiden tembakan itu sekitar 11.13 malam.

Siasatan mendapati suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan di bahagian hadapan kereta dan terkena pada bahagian hadapan badan mangsa.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast