KOTA TINGGI – Seorang pemotong rumput warga Myanmar yang sedang bekerja maut dilanggar sebuah kereta ketika mengelak haiwan melintas di Kilometer 52.5 Jalan Rengit-Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian berlaku pukul 1.37 petang ketika mangsa, Manir Ahmed Laal Miya, 30, sedang memotong rumput di bahu jalan itu.
“Kejadian tersebut dimaklumkan orang awam melibatkan mangsa yang dilanggar kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
“Kemalangan berlaku semasa pemandu kereta tersebut mengelak haiwan melintas dan melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Yusof, pemandu tersebut pula patah pergelangan tangan serta jari dan masih dirawat di Hospital Kota Tinggi.
Mayat ujarnya, dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Jelasnya, ini termasuk hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh hingga lima tahun. – MalaysiaGazette
















