KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas membuat provokasi dan memecahkan botol kaca serta melafazkan ugutan terhadap penjawat awam yang bertugas di sebuah premis tidak beralamat di Jalan Papan, Pandamaran, Klang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, tangkapan ke atas suspek warga tempatan berusia 57 tahun itu dibuat selepas kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang tadi.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika pengadu merupakan bailif Mahkamah Tinggi Shah Alam bersama anggota polis Klang Selatan menyempurnakan writ saman mahkamah tinggi.
“Kemudian suspek yang berada di dalam premis tersebut memprovokasi mangsa dan anggota polis dengan memecahkan botol kaca serta mengeluarkan kata-kata ugutan ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu katanya, suspek telah ditangkap kerana menghalang penjawat awam untuk menjalankan tanggungjawab dan membuat ugutan jenayah.
“Kita masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes ini,” jelasnya.
Tambah Ramli, orang ramai dinasihat untuk mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette
















