KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperluas perlindungan kepada pekerja termasuk terhadap kemalangan di luar waktu bekerja telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Oktober lepas.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dalam sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, bacaan kali pertama RUU berkenaan telah dibuat oleh Menteri Sumber Manusia di Dewan Rakyat pada 30 Oktober lalu manakala bacaan kali kedua dijadualkan dalam mesyuarat Parlimen kali ini.
“RUU ini merupakan pindaan penting bagi memperkukuh sistem perlindungan sosial negara. Ia akan memberi manfaat kepada pekerja yang mengalami kemalangan bukan sahaja di tempat kerja tetapi juga di luar waktu bekerja,” katanya.
Saravanan dalam soalan tambahan bertanya mengenai pendirian kesatuan sekerja terhadap cadangan tersebut memandangkan ia melibatkan caruman tambahan daripada pekerja.

Menjawab perkara itu, Abdul Rahman menjelaskan, kementerian telah menerima reaksi bercampur daripada pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja, pihak majikan dan pertubuhan industri.
“Kementerian mengambil maklum pandangan semua pihak melalui sesi libat urus yang melibatkan Malaysian Employers Federation (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM).
“Semua pandangan ini akan diambil kira dalam perbahasan bacaan kedua nanti,” jelasnya.
Tambah beliau, pindaan tersebut akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan utama termasuk sistem tarif bukan pinjaman kerja, penambahbaikan perumahan pekerja, fasa penyelesaian pampasan serta peluasan liputan perlindungan kepada lebih banyak sektor pekerjaan.
“RUU ini bersifat inklusif dan progresif bagi memastikan perlindungan sosial tidak lagi terhad kepada pekerja di sektor formal sahaja tetapi turut meliputi mereka yang bekerja sendiri dan sektor tidak formal,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan melihat usaha itu sebagai langkah penting ke arah memodenkan sistem keselamatan sosial negara selaras dengan komitmen memperkukuh kebajikan tenaga kerja di bawah agenda Madani. – MalaysiaGazette
















