menerima ijazah sarjana daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah ( UMPSA) , Prof Dr Yatimah Alias, pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA

KUANTAN – Meskipun belum habis berpantang, Norliana Samsudin yang dikenali sebagai Yana Samsudin bersyukur kerana dapat hadir menerima Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Korporat sempena Majlis Konvokesyen UMPSA ke-20, baru-baru ini.

Pelakon, pengarah, penulis skrip, penerbit dan penyanyi ini masih berpantang pada hari ke-30 selepas melahirkan anak ketiga  hadir bersama ibu dan suaminya, Fadhil Zahari.

Beliau menerima ijazah sarjana daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah ( UMPSA) , Prof Dr Yatimah Alias, pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA bagi sesi kelima di sini.

“Saya berharap kehadiran ini akan menjadi kenangan manis bukan saja buat diri saya tetapi juga anak dan suami suatu hari nanti.

“Sepatutnya hari ini tarikh bersalin namun, disebabkan ditakdirkan bersalin awal, membolehkan saya naik ke pentas konvokesyen dengan memakai jubah,” ujarnya yang menghargai sokongan suami dan keluarga sepanjang tempoh pengajian.

Berkongsi pengalaman belajar, Yana mengakui dia menggagahkan diri sepanjang pengajian kerana agak sibuk dengan penggambaran, perniagaan dan anak-anak pula masih kecil.

“Mereka sentiasa memberi semangat, menjadikan segala kepayahan itu berbalas dengan kejayaan ini.

“Terima kasih buat suami yang banyak membantu dan keluarga yang sentiasa menyokong,” katanya.

Seramai 4,259 graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung mulai 8 hingga 10 November lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast