ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor mengumumkan kenaikan elaun Ketua Kampung dan Batin Orang Asli sebanyak RM300 sebulan, berkuat kuasa mulai Januari 2026.
Ini menjadikan elaun bulanan RM1,500 daripada RM1,200 sebelum ini.
Langkah itu memanfaatkan 667 Ketua Kampung dan 46 Batin Orang Asli, dengan jumlah peruntukan tambahan RM2.6 juta di bawah Belanjawan Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peningkatan elaun itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan tanggungjawab pemimpin komuniti.
Mereka katanya, mereka menjadi penghubung penting antara rakyat dan pentadbiran negeri serta memainkan peranan utama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Ketua Kampung dan Batin Orang Asli bukan sekadar pemimpin komuniti, tetapi juga wira di sebalik tabir yang menjaga keharmonian dan menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat.
“Kenaikan elaun ini adalah tanda penghargaan daripada kerajaan negeri,” katanya berucap membentangkan belanjawan itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini.
Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan dan insentif itu adalah sebahagian komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa kepimpinan akar umbi selaras dengan Belanjawan Johor 2026 dan aspirasi agenda Maju Johor 2030. – MalaysiaGazette
















