Onn Hafiz semasa membentangkan Belanjawan Johor 2026 dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Johor memperuntukan RM1.4 juta bagi Bantuan Tiket Penerbangan kepada mahasiswa anak Johor yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan Johor 2026.

Selain itu, inisiatif sama turut meliputi penyediaan perkhidmatan bas percuma kepada mahasiswa anak Johor di institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Semenanjung pada musim perayaan utama, bagi meringankan beban kos perjalanan pulang ke kampung halaman.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan itu mencerminkan kasih dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap anak Johor yang menimba ilmu jauh dari keluarga, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri memperkenalkan 10 inisiatif utama di bawah agenda Orang Muda Johor bagi memperkukuh pembangunan pendidikan tinggi negeri dengan jumlah keseluruhan peruntukan melebihi RM55 juta.

“Langkah ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi muda Johor yang berilmu, berwawasan serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri, selain memastikan tiada anak Johor yang tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Katanya, menerusi pelaksanaan pelbagai bantuan di bawah Belanjawan Johor 2026, Johor sekali lagi menegaskan kedudukannya sebagai negeri peneraju dalam pembangunan modal insan serta pemangkin masa depan generasi muda.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast