Tengku Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan tarikh 2 Disember ini merupakan hari terakhir beliau menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Lantaran itu, kata beliau, fokusnya kini adalah membantu pengganti bagi memastikan proses transisi menteri berjalan lancar agar visi kementerian yang ditetapkan sebelum ini tercapai.

Tengku Zafrul memberitahu, beliau tidak menerima maklumat mengenai individu yang bakal menggantikannya kelak.

“Peralihan ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana perlu mengikut keperluan undang-undang.

“Sesiapa yang menggantikan saya akan meneruskan khidmat sepenuhnya dan saya sedia membantu untuk menguruskan peralihan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025 di sini hari ini.

Beliau terpaksa melepaskan jawatannya di MITI kerana telah menamatkan tempoh sebagai senator selama dua penggal.

Kecuali Tengku Zafrul, tiga menteri lain dijangka menamatkan penggal pertama sebagai senator pada 2 Disember depan ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, ketika ini keputusan mengenai pengganti dan hala tuju kementerian diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menjelaskan tiada perbincangan rasmi setakat ini mengenai kemungkinan beliau menyambung peranan tertentu di MITI.

“Jika diperlukan, saya sudah maklumkan kepada pimpinan bahawa saya sedia membantu.

“Buat masa ini, saya hanya menunggu arahan daripada perdana menteri mengenai apa-apa peranan selepas ini”, katanya.

Sebelum menyertai Kabinet, Tengku Zafrul merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd dan CEO CIMB Bank Bhd.

Pada 9 Mac 2020, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet oleh Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yasin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast