A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin menegur kecenderungan segelintir ahli akademik Melayu yang lebih gemar mencipta teori luar biasa berbanding menumpukan perhatian terhadap isu-isu asas bangsa sendiri.

Beliau berkata, lebih bermanfaat sekiranya para cendekiawan memberi tumpuan kepada permasalahan sebenar masyarakat Melayu yang semakin meruncing daripada segi ekonomi, politik, bahasa dan akhlak.

“Tetapi saya rasa lebih bermanfaat kalau cendekiawan Melayu menumpukan lebih banyak masa kepada isu-isu pokok seperti kedaifan ekonomi Melayu, politik Melayu yang huru-hara, bahasa Melayu yang semakin rosak dan akhlak Melayu yang bertambah buruk,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Kadir berkata demikian ketika mengulas kenyataan seorang ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mendakwa orang Melayu mengajar orang Rom kuno membina kapal yang mencetuskan pelbagai reaksi.

Menurutnya, tokoh akademik berkenaan mendakwa hipotesis itu berpaksikan sumber bacaan Arab klasik, namun masyarakat perlu memahami bahawa hipotesis bukanlah penemuan saintifik.

“Hipotesis ialah pendapat atau tekaan awal yang dibuat berdasarkan pemerhatian atau pengetahuan sedia ada dan mesti diuji melalui penyiasatan atau eksperimen,” katanya.

Kadir menambah, tidak semua sumber lama boleh dianggap sahih kerana banyak hikayat Melayu sendiri bersifat mitos dan tidak berasaskan fakta sejarah.

“Kalau ikut hikayat lama, Raja-raja Melayu turun dari kayangan di Bukit Siguntang sebagai dewa-dewa. Ada yang kata keturunan Iskandar Zulqarnain. Tetapi Al-Quran menyebut satu-satunya manusia yang turun dari langit adalah Nabi Adam Alaihissalam bersama isterinya, Hawa,” jelasnya.

Beliau turut mengulas pandangan bahawa universiti merupakan medan kebebasan intelektual tanpa batas, namun menegaskan kebebasan itu perlu disertai tanggungjawab dan keutamaan kepada agenda bangsa.

“Apabila semua ini bertambah baik, barulah kita dabik dada macam gorila jantan menang gusti atau melaung macam Tarzan menggoda Jane,” katanya sinis.

Kadir menegaskan, hanya apabila perkara asas bangsa diperbetulkan, barulah hujah luar biasa daripada cendekiawan Melayu akan lebih berwibawa dan dipercayai ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast