Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUPUR – Malaysia, Singapura, dan Indonesia telah memulakan perbincangan bagi mengadakan kajian lebih mendalam kerjasama tiga wilayah mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perbincangan itu berlaku bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di mana negara-negara terlibat perlu meneliti segala perincian secara rasmi sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Menurutnya, pertemuan itu melibatkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto.

Katanya, kerjasama tiga hala itu bagi memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi rentas sempadan di kawasan JS-SEZ yang termasuk kawasan strategik seperti Iskandar Malaysia dan wilayah ekonomi khas BBK di Indonesia.

“Perbincangan sudah dijalankan tetapi kami setuju untuk meneruskan perbincangan setelah kajian mendalam dilaksanakan oleh pegawai kanan kerajaan.

“Perbincangan ini sebenarnya sudah beberapa kali disuarakan tetapi kita tidak pernah membuat kajian lengkap.

“Namun, saya melihat berdasarkan Johor-Singapura SEZ, ia nampak memberikan kejayaan positif dan sekiranya gabungan tiga negara, besar kemungkinan ia akan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Taklimat Media Kad Laporan Prestasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Suku Ketiga 2025 di sini hari ini.

Pada 24 Oktober lepas, Gan berkata, Singapura sedang meninjau kerjasama tiga hala dengan Malaysia dan Indonesia bagi menarik pelabur dan perniagaan ke JS-SEZ serta Kepulauan Batam, Bintan dan Karimun (BBK).
JS-SEZ adalah inisiatif kerjasama antara Malaysia dan Singapura bagi memacu pertumbuhan ekonomi rentas sempadan manakala BBK merupakan wilayah ekonomi khas di Indonesia dengan Singapura berperanan sebagai pelabur utama.
Kawasan JS-SEZ meliputi zon pembangunan utama seperti Iskandar Malaysia, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan Desaru dengan jumlah keluasan kawasan kira-kira 357,128 hektar.
Wilayah Iskandar Malaysia merangkumi kawasan strategik seperti Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai dan Sedenak.
Kawasan yang dikenali sebagai zon utama ini juga masing-masing akan menumpukan projek daripada pelbagai sektor penting ekonomi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast