Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap ketika sidang media selepas hadir pada Majlis Perasmian MAHA 2026 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 29 OGOS 2026.

SERDANG – Sebanyak 121 memorandum persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM8 bilion dijangka dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 kali ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM4 bilion membabitkan kerjasama dengan China, manakala bakinya adalah negara lain.

Beliau berkata, kerjasama itu merangkumi pertukaran teknologi, peluang pelaburan, pembangunan kapasiti serta latihan kepada peladang termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain membuka peluang eksport produk agromakanan tempatan.

“Kita berharap MAHA Go Global termasuk FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dapat memainkan peranan lebih hebat pada masa akan datang supaya barangan keluaran di Malaysia boleh dipasarkan di negara disebutkan, yang kita masih agak ketinggalan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak bergambar melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian MAHA 2026 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 29 OGOS 2026.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, MAHA 2026 turut memperkukuh hubungan dan kerjasama antarabangsa melalui penyertaan delegasi dari 14 negara, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Kenya, Uzbekistan, Denmark, Hungary, Belanda, Sepanyol, Thailand dan Palestin.

Katanya, penyertaan antarabangsa itu membuka ruang kepada perkongsian teknologi dan
inovasi serta pengukuhan jaringan kerjasama dalam sektor pertanian dan
keterjaminan makanan.

“Beberapa persefahaman kerjasama antara negara turut dijangka dimuktamadkan sepanjang penganjuran MAHA 2026.

“Dalam masa sama, MAHA 2026 menyediakan ruang yang lebih luas bagi
peluang pelaburan dan pemerkasaan syarikat pemula (start-up) agroteknologi.

“Pentas Scale-X di Hall A memberi peluang kepada syarikat tempatan terpilih untuk
membentangkan potensi perniagaan kepada panel pelabur, dengan peluang
mendapatkan suntikan modal sehingga RM5 juta bagi syarikat yang berjaya,” katanya.

Penganjuran MAHA 2026 menyasarkan empat juta pengunjung, 2,000 pempamer dan nilai jualan RM58 juta serta penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai program sepanjang 10 hari penganjuran bermula semalam. – MalaysiaGazette

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hadir pada Majlis Perasmian MAHA 2026 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 29 OGOS 2026.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here