JBPM Johor menjelaskan kapal yang terbakar kontenanya di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri baru-baru ini adalah Maersk-chartered vessel MV Kyparissia.

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor hari ini menjelaskan bahawa kapal yang terlibat dalam insiden kebakaran kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) baru-baru ini bukan kapal MSC Kyparissia seperti dilaporkan sebelum ini.

Menurut JBPM Johor, sebaliknya kapal berkenaan merupakan Maersk-chartered vessel MV Kyparissia.

“Segala maklumat lain dalam kenyataan terdahulu kekal tidak berubah, termasuk fakta operasi, masa kejadian, jumlah mangsa, serta tindakan penyelamatan dan pemadaman yang sedang dilaksanakan.

“JBPM Negeri Johor memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan ketepatan maklumat rasmi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 7 November lalu, tiga pekerja kapal maut manakala tiga lagi cedera selepas berlaku kebakaran pada sebuah kontena di atas kapal yang berlabuh di PTP.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.23 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 17 minit kemudian.

“Siasatan mendapati kebakaran berlaku ketika kerja-kerja pemunggahan kontena dijalankan di bahagian bawah geladak (under hatch) Blok 5.

“Kejadian melibatkan enam mangsa iaitu tiga disahkan maut dan tiga lagi cedera iaitu seorang lelaki Malaysia berusia 26 tahun serta dua warga Filipina berusia lingkungan 40-an,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast