KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 harus menjadi referendum untuk mempertahankan hak 40 peratus dengan menyokong parti-parti tempatan supaya perjuangan hak Sabah lebih berkesan.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, beliau menghargai pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang menghormati hak 40 peratus Sabah yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau juga mengambil maklum akan rayuan yang akan difailkan ke atas alasan penghakiman berhubung keputusan mahkamah dalam kes itu.
Namun, ujarnya yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), rayuan adalah tetap rayuan.
“Selama tiga tahun dalam Kabinet Persekutuan, saya konsisten menyatakan pandangan dan pendirian saya bahawa hak 40 peratus Sabah adalah hak Perlembagaan yang berlainan dengan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk Sabah di bawah Senarai Persekutuan (Federal List).
“Sepanjang tiga tahun itu juga, jawapan balas yang diberikan kepada saya adalah sama dengan jawapan yang diberikan di Tamu Gaya Street,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Anwar ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat menjelaskan, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah merupakan komitmen Putrajaya menghormati hak negeri itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, kerajaan tetap akan merayu terhadap bahagian penghakiman yang menyentuh dakwaan salah guna kuasa dan pelanggaran kewajipan perlembagaan oleh kerajaan-kerajaan Persekutuan terdahulu sejak 1974.
Sementara itu, Ewon menegaskan penghakiman bertulis oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober berkaitan hak 40 peratus Sabah merupakan dokumen yang wajib dibaca dan dimiliki oleh semua rakyat Sabah.
Jelasnya, rakyat Sabah juga harus meraikan wira sebenar dalam isu itu iaitu Sabah Law Society dan individu yang bertanyakan soalan secara langsung kepada Anwar berkenaan bila hak 40 peratus itu akan dibayar.
“Saya akan menyampaikan ucapan di Konvensyen Rakyat dan Pelancaran Jelajah “Sabah First” di Dewan Gawir, Kg Madsiang, Penampang pada malam ini.
“Kita tidak mampu berkonvensyen di pusat bandaraya. Kita dari kampung, mula dari kampung, ke seluruh kampung,” katanya. – MalaysiaGazette
















